Friday 30 September 2011

di permulaan oktober

saat berganti saat
minit berganti minit
jam berganti jam

hari berganti hari
minggu berganti minggu
bulan berganti bulan

sedar atau tak sedar
kita semakin hampir
melengkapi perjalanan setahun
dan, hari ini kita berdiri di pangkal oktober
untuk mengatur langkah-langkah selanjutnya

cuma harapanku
semoga seorangpun
tiada mendendangkan 
lagu 'tragedi oktober'
insya-Allah

Sunday 25 September 2011

Jangan Main Api

tatkala mereka berlari keluar menyelamat nyawa,
ada yang bergegas masuk
Api sememangnya banyak memberi manfaat dalam kehidupan manusia seharian. Kita menggunakan api untuk memasak makanan, menerangi kegelapan malam, menghangatkan badan tatkala kedinginan, menghalau haiwan liar, kita gunakan untuk membersih sampah di halaman rumah, atau sekurang-kurangnya kita menyalakan rokok di bibir mulut! Semua itu berlaku tatkala api masih kecil, masih dalam kawalan dan pengawasan kita.
Tetapi apabila api telah bertukar sifatnya menjadi kebakaran dan tidak ladi terkawal dan di luar pengawasan kita, atau bertukar menjadi bencana, ketika itulah dia mengancam. Mengancam nyawa dan harta benda. Seperti kata pepatah Melayu, api sewaktu kecil dialah kawan, bila besar dialah lawan.
amukan tiada mengenal siapa, apa..
hadirnya mengundang duka dan nestapa
Api tidak memilih siapa untuk menjadi mangsanya, tidak kira melayu atau cina, iban atau india, tua atau muda, lelaki atau wanita, ibu atau bapa, cacat atau semperna, apa yang dia tahu membakar. Ia juga tidak memilih di mana tempatnya. Di bandar atau desa, dangau atau istana, rumah kaya atau yang hina-dina, dia tahu merebak sehingga habis semua. Api juga tidak memilih masa, bila ia akan terjadi. Pagi atau petang, siang atau malam, sedar atau jaga. Semuanya boleh berlaku tatkala kita alpa dan lupa.
Oleh itu, berwaspada selalu. Kita boleh elak kejadian kebakaran daripada berlaku. Sekali ia berlaku, ia memberi kesan setiap waktu. Ingat tiada peluang kedua bila berhadapan dengan kebakaran, sama ada nyawa kita terancam dan menjadi korban, sama ada harta kita musnah menjadi arang, kitalah yang harus mulakan. Anda mampu mencegahnya. Keselamatan nyawa dan harta benda tanggungjawab kita!

Friday 23 September 2011

Siapa Sebenarnya Bermasalah

Masalah..semua orang ada masalah dalam hidup dia. Tak kira siapa. Orang melayu, cina atau orang puteh, sama saja. Sebab ini semua manusia hidup. Kerana masalahlah lahir macam-macam cara untuk selesaikan. Kalau tak ada masalah itu mati namanya. Tengok saja orang tak ada duit, kalau dia asyik menung fikir tentang nasib saja, masalah tak akan selesai. Cara meluahkan pada orang lain adalah sebahagian kita selesaikan masalah kita. Soal orang dengar atau tak mahu dengar, nak tolong atau tidak itu belakang kira. Yang penting kita dah keluarkan. Si A dah luahkan pada si B yang dia tak ada duit. Jika si B percayakan dia, dia boleh tolong jika dia mahu. Tapi jika dia tak percayakan si A atau tidak dapat bantu, dia boleh cadangkan pada si A supaya berjumpa dengan si C yang ada duit untuk selesaikan masalahnya. Maknanya si B dan cuba selesaikan masalah si A dengan memindahkan masalah itu pada orang lain. Jika si A hanya berdiam diri, enggan kongsikan dengan orang lain dan fikir berseorangan, maka idea akhir yang hadir mungkin 'mencuri'.Mencuri adalah perbuatan yang dilarang bukan setakat peraturan dunia, tetapi juga hukum agama.

Ada orang bila dia ada masalah, dia malu nak bagitahu orang yang dia ada masalah. Nak kata dia pendam pun tidak. Tapi dia buat cara lain. Semua ini dah biasa orang buat. Cuma sama ada kita perasan, sedar atau tidak tak tahulah. Orang macam ni dia suka tulis. Apa jugak dia rasa dia tulis, apa dia tengok dia tulis sampai dia menulispun dia tulis. Ada juga orang lagu ni hehe. Ada yang buat macam sajak, seloka atau pantun. Syair mungkin jarang-jarang sebab nak lagu tu suara mungkin kurang enak didengar hehe. Kadang-kadang masalah tak panjangpun, tapi tulis panjang lebar siap buat jilid lagi. Ada yang suka lukis, pantang dia ada masalah aje dia melukis. Entah apa dilukis pun kadang-kadang kita malah dia sendiripun tak tahu apa, tak faham. Kalau tanya diapun dia jawab tak tahu katanya 'lu fikirlah sendiri' kerana apa dilukis tu abstrak. Itulah jawaban seni biasa kita dengar. Kalau orang ada masalah cinta ni jarang sangat dia nak lukis gambar sawah padi hehe.

Berbalik kita kepada orang yang suka menulis, bukan dia tulis biasa. Siap bahasa puitis lagi. Huh! Ayatpun mengalahkan sasterawan. Dia mampu tulis setiap masalahnya dalam bentuk paling kreatif. Buat macam sajak. Tapi entah bila dia nak deklamasi pun tak tahu. Kalau nak deklamasi pun, siapa pulak yang nak mendengar. Setakat baca sorang-sorang baik terus pendam dalam hati aje. Tak payah susah-susah nak keluarkan. Itulah sebab dia tulis, supaya masalahnya dapat keluar dari kotak fikirnya. Tapi nak suruh siapa tahu? Entahlah. Kalau setakat nak lepas masalah pada batang-batang pokok baik tak payah tulis. Kalau demikian, masalah masih belum selesai, masih dok berlegar di pinggang lagi, masih tak pergi jauh atau tak dapat hasilkan apa-apa samada duit atau ganjaran lain dalam bentuk pujian dan sebagainya. Ada juga dia cuba hantar masalah itu ke ruangan sajak kat majalah yang ternama dan tak ternama dengan harapan dia boleh eksportnya jauh-jauh dan ada orang membacanya sebelum ditong-sampahkan.

Bagi yang tahu bermain alat muzik, mungkin masalah dia boleh diperindahkan lagi. Supaya menarik dan tertarik bila orang mendengarnya. Jadi kata-kata puitis tadi diadunkan dengan muzik. Jadi kalau begitu bukan setakat free of charge (foc) dah, mesti dapat upah atau ganjarannya. Siapa nak main gitar, siapa nak main drum, siapa nak main keyboad dan sebagainya. Kalaulah orang yang menulis masalah tu orang ada nama, mesti dia memilih pemain muzik yang ada nama jugak (semua ada nama sebenarnya). Jadi, masalah dia dah melibatkan orang lain. Cuba bayangkan seorang pemain gitar menggoreng gitarnya dengan mata terpejam rapat. Fuh! Bukan main feeling lagi..Bila dah dimasukkan muzik, takkan orang empunya masalah itu yang nak nyanyikan sendiri. Kalau suara bagus itu tak apa jugak. Kira dia dapat hayati masalah dengan penuh perasaan. Tapi kalau suara tak sedap nanti hujan boleh turun tiba-tiba dalam musim kemarau. Lagi kes naya. Nak buat konsert pun kat pentas mana dia nak naik. Tak ada orang nak dengarpun.

Masalah belum lagi selesai, kena ada orang nyanyikan masalah ini baru bagus. Mesti cari penyanyi terbaik punya. Setakat Mat Lekor kat hujung kampung tu, lagu selimut putih pun terus berlengkar macam ular sawa lagi. Dia memang sohor dengan lengkornya kerana kuat tidur. Dari pagi sampai petang. Ini satu masalah jugak. Tak produktif. Kena cari penyanyi yang ada suara bagus, kacak (bagi lelaki la). Tentu kena ada tempat sesuai untuk merakam suara ni. Nak tak nak kena cari dan masuk studio rakaman. Bayangkan jika lagu sedih tulisan dia tu tinggi, berkerut la dahi penyanyi tu, atau terik urat tekuk la dek nak hayati lagu itu pada tahap terbaik. Buat album dan jual. Jual masalah yang diterjemahkan ke dalam bentuk kreatif dan puitis, tetapi bukan dengan nilai-nilai gratis, kalau nak semuanya pakai pitis. Ya, bila dah terhasilnya album maka tentu nak jual. Siapa nak biaya penyanyi, pemuzik dan sebagainya yang aku sendiri ada masalah nak menyebut akan namanya. Setaka jual besi buruk tak memadai untuk semua tu!

Dan, apabila terjual album itu maka adalah si pembeli. Si pembeli bukan minat pun dengan orang menulis masalah tu, tapi dia minat dengan penyanyi, maka dia beli. Ada juga minat kerana muzik, maka dia beli, tak kurang juga minat dengan kata-kata dalam lagu, pun dia beli.

Aku, adalah dari kategori yang ketiga kerana minat kata-kata, aku pun beli kerana di dalamnya ada killer song cakap omputeh. Aku hayati dengan penuh perasaan. Hafal lirik tanpa muzik, kadang masuk nyanyi karaoke, tapi sumbang. Akhirnya aku memilih jalan dengan memasuki studio (bilik mandi). Bilik mandi dah aku jadikan studio dengan paip hujan dijadikan mikrofon. Menyanyi dan terus menyanyi sampai serak suara, berkerut dahi dan terik urat tekak di buatnya.

Aku yang telah melaburkan sejumlah wang, untuk membeli album penyanyi aku minati itu, sebenarnya telah membeli masalah yang orang lain ciptakan. Masalah itu berpindah dari satu pihak ke satu pihak lain tanpa aku sedari termasuklah aku juga. Rupanya aku yang menerima semua masalah itu dengan membayar sejumlah wang. Mereka dapat duit, tapi aku dapat apa? Jadi, persoalannya siapa sebenarnya bermasalah?



Monday 19 September 2011

boring..

baring melentang 
sambil berjemur di bawah terik 
cahaya lampu kalimantang
di atas katil tilam hilang empuk

menghayati deruan sepoi-sepoi bahasa
angin kipas dinding
berkaca mata hitam berbaju kulit

kilas pelikat di pinggang
bagai pemain rebana ubi
berlapik kedua-dua tangan di bawah kepala
di atas bantal
tiada lain yang difikir
dari mahu meluah
AKU BORING!

Tambah kaps