Monday 5 December 2011

Figura Angka Lapan (figure of eight)




tali kehidupan di alam fana
punyai dua hujung berbeda
hujung permulaan dan hujung akhiran
merentangi masa nan panjang
kita mengharap ia selalu lurus-tegang
agar dalam perjalanan ke seberang
segalanya licin dan lancar

adakala tali menjadi kendur-bersimpul
bersimpul tali dalam figura angka lapan
membantut usaha menjadi getir dan sukar
perjalanan bagai terhenti
dek kerana mengurai kekusutan

menyelusuri tali dalam figura angka lapan
kadangkala perlu mengundur langkah ke belakang
bukan bermakna kita dalam kekalahan
tapi mencari jalan penyelesaian
memerlukan sabar dan tenang
punya iman dan dada yang lapang

kadangkala perlu membuat pusingan “u”
bukan bermakna pulang ke pangkal awalan
menyebabkan langkah semakin panjang

walau bertindih dan bersilang
walau terbeban dan tertekan
hidup tetap diteruskan
dalam mencari punca di akhiran

harus diingat
figura angka lapan
adalah tanda penghujung tali!

Wednesday 5 October 2011

sofa dan katil

tatkala bersandar santai di sofa
sekadar melihat katil yang empuk tilamnya
begitulah juga
tatkala berbaring lentang di katil
sekadar memandang sepi sofa yang mahal harganya

mana mungkin dapat lakukan
dua perkara itu secara serentak
dengan duduk di sofa
bermakna katil di bilik tidur itu kita biarkan
dengan berbaring di katil
bermakna sofa di ruang tamu kita tinggalkan

namun perlu diingat
ia masih terlindung di bawah satu bumbung
yang tak rosak dek panas
yang tak rosak dek hujan
melainkan jika dengan sengaja kita dedahkan!

Monday 3 October 2011

sajak dalam sms

(di tuju kepada rakan yang tak simpan nombor telefon)

kau rasa getarnya?
atau sekadar terdengar dering nada
atau sekadar icon mesej terpapar
lalu kau cuba untuk membaca

di hati tentu tertanya-tanya
sms ini datangnya dari mana
atau mungkin ia milik siapa
mungkin daripada teman istimewa
mungkin daripada sahabat setia
mungkin daripada kenalan pena
mungkin daripada kawan lama
mungkin daripada saudara mara
mungkin juga ada yang mahu mengena?

rupanya telahan itu salah belaka
semuanya jangkaan meleset segala
sms ini rupanya datangnya daripada
dari seorang anggota bomba
yang telah lama tak bertanya
khabar berita..

Sunday 2 October 2011

baca dari apa tertulis


jika semalam
engkau mengenal huruf
dari seorang guru

hari ini
engkau mampu mencantumkan
dari huruf menjadi suku kata
dari sukukata engkau jadikan perkataan
dari perkataan menjadi ayat

tulislah nama-mu
tulislah nama ibu dan bapa-mu
dan bacalah
dengan nama Allah
tuhan yang menciptakan!

Friday 30 September 2011

di permulaan oktober

saat berganti saat
minit berganti minit
jam berganti jam

hari berganti hari
minggu berganti minggu
bulan berganti bulan

sedar atau tak sedar
kita semakin hampir
melengkapi perjalanan setahun
dan, hari ini kita berdiri di pangkal oktober
untuk mengatur langkah-langkah selanjutnya

cuma harapanku
semoga seorangpun
tiada mendendangkan 
lagu 'tragedi oktober'
insya-Allah

Sunday 25 September 2011

Jangan Main Api

tatkala mereka berlari keluar menyelamat nyawa,
ada yang bergegas masuk
Api sememangnya banyak memberi manfaat dalam kehidupan manusia seharian. Kita menggunakan api untuk memasak makanan, menerangi kegelapan malam, menghangatkan badan tatkala kedinginan, menghalau haiwan liar, kita gunakan untuk membersih sampah di halaman rumah, atau sekurang-kurangnya kita menyalakan rokok di bibir mulut! Semua itu berlaku tatkala api masih kecil, masih dalam kawalan dan pengawasan kita.
Tetapi apabila api telah bertukar sifatnya menjadi kebakaran dan tidak ladi terkawal dan di luar pengawasan kita, atau bertukar menjadi bencana, ketika itulah dia mengancam. Mengancam nyawa dan harta benda. Seperti kata pepatah Melayu, api sewaktu kecil dialah kawan, bila besar dialah lawan.
amukan tiada mengenal siapa, apa..
hadirnya mengundang duka dan nestapa
Api tidak memilih siapa untuk menjadi mangsanya, tidak kira melayu atau cina, iban atau india, tua atau muda, lelaki atau wanita, ibu atau bapa, cacat atau semperna, apa yang dia tahu membakar. Ia juga tidak memilih di mana tempatnya. Di bandar atau desa, dangau atau istana, rumah kaya atau yang hina-dina, dia tahu merebak sehingga habis semua. Api juga tidak memilih masa, bila ia akan terjadi. Pagi atau petang, siang atau malam, sedar atau jaga. Semuanya boleh berlaku tatkala kita alpa dan lupa.
Oleh itu, berwaspada selalu. Kita boleh elak kejadian kebakaran daripada berlaku. Sekali ia berlaku, ia memberi kesan setiap waktu. Ingat tiada peluang kedua bila berhadapan dengan kebakaran, sama ada nyawa kita terancam dan menjadi korban, sama ada harta kita musnah menjadi arang, kitalah yang harus mulakan. Anda mampu mencegahnya. Keselamatan nyawa dan harta benda tanggungjawab kita!

Friday 23 September 2011

Siapa Sebenarnya Bermasalah

Masalah..semua orang ada masalah dalam hidup dia. Tak kira siapa. Orang melayu, cina atau orang puteh, sama saja. Sebab ini semua manusia hidup. Kerana masalahlah lahir macam-macam cara untuk selesaikan. Kalau tak ada masalah itu mati namanya. Tengok saja orang tak ada duit, kalau dia asyik menung fikir tentang nasib saja, masalah tak akan selesai. Cara meluahkan pada orang lain adalah sebahagian kita selesaikan masalah kita. Soal orang dengar atau tak mahu dengar, nak tolong atau tidak itu belakang kira. Yang penting kita dah keluarkan. Si A dah luahkan pada si B yang dia tak ada duit. Jika si B percayakan dia, dia boleh tolong jika dia mahu. Tapi jika dia tak percayakan si A atau tidak dapat bantu, dia boleh cadangkan pada si A supaya berjumpa dengan si C yang ada duit untuk selesaikan masalahnya. Maknanya si B dan cuba selesaikan masalah si A dengan memindahkan masalah itu pada orang lain. Jika si A hanya berdiam diri, enggan kongsikan dengan orang lain dan fikir berseorangan, maka idea akhir yang hadir mungkin 'mencuri'.Mencuri adalah perbuatan yang dilarang bukan setakat peraturan dunia, tetapi juga hukum agama.

Ada orang bila dia ada masalah, dia malu nak bagitahu orang yang dia ada masalah. Nak kata dia pendam pun tidak. Tapi dia buat cara lain. Semua ini dah biasa orang buat. Cuma sama ada kita perasan, sedar atau tidak tak tahulah. Orang macam ni dia suka tulis. Apa jugak dia rasa dia tulis, apa dia tengok dia tulis sampai dia menulispun dia tulis. Ada juga orang lagu ni hehe. Ada yang buat macam sajak, seloka atau pantun. Syair mungkin jarang-jarang sebab nak lagu tu suara mungkin kurang enak didengar hehe. Kadang-kadang masalah tak panjangpun, tapi tulis panjang lebar siap buat jilid lagi. Ada yang suka lukis, pantang dia ada masalah aje dia melukis. Entah apa dilukis pun kadang-kadang kita malah dia sendiripun tak tahu apa, tak faham. Kalau tanya diapun dia jawab tak tahu katanya 'lu fikirlah sendiri' kerana apa dilukis tu abstrak. Itulah jawaban seni biasa kita dengar. Kalau orang ada masalah cinta ni jarang sangat dia nak lukis gambar sawah padi hehe.

Berbalik kita kepada orang yang suka menulis, bukan dia tulis biasa. Siap bahasa puitis lagi. Huh! Ayatpun mengalahkan sasterawan. Dia mampu tulis setiap masalahnya dalam bentuk paling kreatif. Buat macam sajak. Tapi entah bila dia nak deklamasi pun tak tahu. Kalau nak deklamasi pun, siapa pulak yang nak mendengar. Setakat baca sorang-sorang baik terus pendam dalam hati aje. Tak payah susah-susah nak keluarkan. Itulah sebab dia tulis, supaya masalahnya dapat keluar dari kotak fikirnya. Tapi nak suruh siapa tahu? Entahlah. Kalau setakat nak lepas masalah pada batang-batang pokok baik tak payah tulis. Kalau demikian, masalah masih belum selesai, masih dok berlegar di pinggang lagi, masih tak pergi jauh atau tak dapat hasilkan apa-apa samada duit atau ganjaran lain dalam bentuk pujian dan sebagainya. Ada juga dia cuba hantar masalah itu ke ruangan sajak kat majalah yang ternama dan tak ternama dengan harapan dia boleh eksportnya jauh-jauh dan ada orang membacanya sebelum ditong-sampahkan.

Bagi yang tahu bermain alat muzik, mungkin masalah dia boleh diperindahkan lagi. Supaya menarik dan tertarik bila orang mendengarnya. Jadi kata-kata puitis tadi diadunkan dengan muzik. Jadi kalau begitu bukan setakat free of charge (foc) dah, mesti dapat upah atau ganjarannya. Siapa nak main gitar, siapa nak main drum, siapa nak main keyboad dan sebagainya. Kalaulah orang yang menulis masalah tu orang ada nama, mesti dia memilih pemain muzik yang ada nama jugak (semua ada nama sebenarnya). Jadi, masalah dia dah melibatkan orang lain. Cuba bayangkan seorang pemain gitar menggoreng gitarnya dengan mata terpejam rapat. Fuh! Bukan main feeling lagi..Bila dah dimasukkan muzik, takkan orang empunya masalah itu yang nak nyanyikan sendiri. Kalau suara bagus itu tak apa jugak. Kira dia dapat hayati masalah dengan penuh perasaan. Tapi kalau suara tak sedap nanti hujan boleh turun tiba-tiba dalam musim kemarau. Lagi kes naya. Nak buat konsert pun kat pentas mana dia nak naik. Tak ada orang nak dengarpun.

Masalah belum lagi selesai, kena ada orang nyanyikan masalah ini baru bagus. Mesti cari penyanyi terbaik punya. Setakat Mat Lekor kat hujung kampung tu, lagu selimut putih pun terus berlengkar macam ular sawa lagi. Dia memang sohor dengan lengkornya kerana kuat tidur. Dari pagi sampai petang. Ini satu masalah jugak. Tak produktif. Kena cari penyanyi yang ada suara bagus, kacak (bagi lelaki la). Tentu kena ada tempat sesuai untuk merakam suara ni. Nak tak nak kena cari dan masuk studio rakaman. Bayangkan jika lagu sedih tulisan dia tu tinggi, berkerut la dahi penyanyi tu, atau terik urat tekuk la dek nak hayati lagu itu pada tahap terbaik. Buat album dan jual. Jual masalah yang diterjemahkan ke dalam bentuk kreatif dan puitis, tetapi bukan dengan nilai-nilai gratis, kalau nak semuanya pakai pitis. Ya, bila dah terhasilnya album maka tentu nak jual. Siapa nak biaya penyanyi, pemuzik dan sebagainya yang aku sendiri ada masalah nak menyebut akan namanya. Setaka jual besi buruk tak memadai untuk semua tu!

Dan, apabila terjual album itu maka adalah si pembeli. Si pembeli bukan minat pun dengan orang menulis masalah tu, tapi dia minat dengan penyanyi, maka dia beli. Ada juga minat kerana muzik, maka dia beli, tak kurang juga minat dengan kata-kata dalam lagu, pun dia beli.

Aku, adalah dari kategori yang ketiga kerana minat kata-kata, aku pun beli kerana di dalamnya ada killer song cakap omputeh. Aku hayati dengan penuh perasaan. Hafal lirik tanpa muzik, kadang masuk nyanyi karaoke, tapi sumbang. Akhirnya aku memilih jalan dengan memasuki studio (bilik mandi). Bilik mandi dah aku jadikan studio dengan paip hujan dijadikan mikrofon. Menyanyi dan terus menyanyi sampai serak suara, berkerut dahi dan terik urat tekak di buatnya.

Aku yang telah melaburkan sejumlah wang, untuk membeli album penyanyi aku minati itu, sebenarnya telah membeli masalah yang orang lain ciptakan. Masalah itu berpindah dari satu pihak ke satu pihak lain tanpa aku sedari termasuklah aku juga. Rupanya aku yang menerima semua masalah itu dengan membayar sejumlah wang. Mereka dapat duit, tapi aku dapat apa? Jadi, persoalannya siapa sebenarnya bermasalah?



Monday 19 September 2011

boring..

baring melentang 
sambil berjemur di bawah terik 
cahaya lampu kalimantang
di atas katil tilam hilang empuk

menghayati deruan sepoi-sepoi bahasa
angin kipas dinding
berkaca mata hitam berbaju kulit

kilas pelikat di pinggang
bagai pemain rebana ubi
berlapik kedua-dua tangan di bawah kepala
di atas bantal
tiada lain yang difikir
dari mahu meluah
AKU BORING!

Friday 26 August 2011

tak tahu apa daa


kita lunak dan santun bila berbahasa
berharap agar ada orang menyukai
malangnya mereka membenci,

adakala kita lucah dan kasar bila berbahasa
berharap agar ada orang membenci
malangnya mereka menyukai..

kita lucu dan lawak bila berbicara
berharap agar ada orang gelak ketawa
malangnya mereka menitiskan air mata

kita leleh dan titiskan air mata bila bicara
berharap agar ada yang menangis
malangnya mereka gelak ketawa

hal ini tak ubah
menyalakan api
pada kayu-kayu basah
atau memadam api
dengan menyimbah petrol
pada nyalaanya!

Friday 15 July 2011

Kenapa Memerang Membunuh Anak Kura-Kura

Seekor Memerang telah ditangkap kerana disyaki membunuh anak Kura-Kura. Setelah disoal-siasat, sang Memerang mengaku bahawa dia telah memijak seekor anak Kura-Kura tetapi tidak tahu nasib anak Kura-Kura tersebut. Dia terus berlari kerana dia merasa amat takut kerana melihat seekor Sebarau memakai lilitan bengkung pada tubuhnya. Pada tanggapan Memerang, sang Sebarau telah mengisytiharkan perang terhadapnya.

Soal-siasat telah dibuat ke atas sang Sebarau. Sang Sebarau telah mengaku bahawa bahawa dia telah memakai bengkung pada tubuhnya tetapi bukan untuk berperang dengan sang Memerang, sebaliknya dia telah melihat seekor Udang telah keluar dari persembunyiannya dengan membawa sebatang tombak, dan dalam fikirannya mungkin ada sesuatu yang tak kena berlaku di sekitar kawasan itu. Apabila sang Udang ditanya mengapa membawa tombak sewaktu keluar rumah yang menyebabkan ketakutan sang Sebarau, dia menjawab dia telah ternampak sesuatu ditangan sang Ketam. Katanya sang Ketam telah membawa sesuatu senjata besar seperti penyepit di kedua belah tangannya, jadi sebagai langkah berjaga-jaga dia membawa tombak itu untuk keselamatan diri.

Tibalah sang Ketam disoal-siasat, dia mengaku telah membawa senjata di kedua-dua belah tangannya kerana melihat seekor ibu Kura-Kura membawa perisai besar di atas belakangnya. Dan tiba giliran ibu Kura-Kura ditanya mengapa dia membawa perisai (cengkerang) bersamanya, dia berkata telah melihat seekor memerang datang dan khuatir akan keselamatan anaknya.


Siapa salah fikir-fikirkan sendiri hehe..
(cerita ini diceritakan oleh seorang kawan masa budak-budak dulu, tapi sekarang dah arwah)

Sunday 17 April 2011

anda seorang....


anda seorang anak 

kerana anda punya ibu-bapa

anda seorang pelajar 

kerana anda punya guru

anda seorang warga

kerana anda punya negara

anda seorang pekerja 

kerana anda punya majikan

anda seorang hamba

kerana anda punya Pencipta



siapapun kita;

di manapun kita

berbaktilah selagi hayat

di kandung badan!

dalam hujan

hujan makin lebat
aku semakin sedap
menggaru kurap!

tak boleh nak royat
walau sepatah ayat
atau bahasa isyarat
hingga tidak terucap
kekadang lancar kekadang gagap

mata kuyu lelap
sampai tegang belikat
sampai lenguh sendi-urat
mungkin sedap geliat
jemari jentik-jentap
air liur titis tap-tap
tiada tergambar akan nikmat!

tiba-tiba..arrrrgghh
nafas tercungap-cungap
mata terbeliak bulat
bila terpetat
biji ketuat

luka pedih parut lekat!

jantan


usah berlagak seperti jantannya ayam;
kokok berderai-derai ekor bergelumang tahi!
usahkau mendabik dada
sedang tuah entah di mana
dan keberanianmu itu bersandarkan apa?
lantas kau berkata :

"adat gajah berjuangkan gading;
adat harimau berjuangkan taring;
adat manusia
meniti mata pedang
mengharung darah
walau patah empat kerat sekalipun
tiadaku berundur-mara"

usah merajai nafsu ke kemuncak agung
kelak terlantar iman di telapak!

mudah terbakar dan tidak terbakar

"Jadilah bahan yang mudah terbakar di dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan menuntut ilmu pengetahuan, kerana gas-gas mudah terbakar yang terhasil daripada proses pembakaran  itu akan memarakkan lagi kemerebakan ilmu pengetahuan itu di sekitar anda. Akan tetapi, di dalam perkara-perkara yang berkaitan menahan kemarahan dan bersabar, adalah lebih baik anda menjadi bahan yang tidak terbakar! Kerana ia boleh mengekang kemerebakan amarah itu ke sekeliling anda dan memburukkan lagi keadaan!"

membuka tanah di kedai kopi

dok pikir gi dok pikir mari
dok pikir itu dok pikir ini
pikiran udah jauh pergi
ada yang lepas ke Arab Saudi
naik ke Mekah tunaikan haji
tapi jasad masih di sini.

betul orang tua dok cerita-bari
umpama membuka tanah di kedai kopi
tanah berpuluh ekar disiapkan sehari
dengan hanya di kedai kopi

bila pelayan datang berdiri
dia mengoder secawan kopi
parang disandar di birai kerusi
seteguk kopi
tanah di hutan habis bercuci
lima kali teguk benih ditanam mulai meninggi
sepuluh kali hirup hasil mulai dikecapi
tapi
bila sampai nak bayar kopi
baru sedar akan diri
rupanya tanah dalam hutan lagi
nak langkap pergi
hari mulai meninggi
bila pulang rumah semua belum menjadi lagi!

Saturday 19 March 2011

mencuba sesuatu yang baru

Hari ini ambo mengambil keputusan, nak cuba sesuatu yang baru-lain dari biasa-iaitu ambo ambik keputusan buka blog ni. Selama ni kita asyik borak je, dari wakaf di tepi jalan hinggalah ke kedai kopi (walaupun tiap kali masuk ambo oder teh hehehe). Pendek kata mulut tak lenguh bercakap. Idea, fuh! Bukan main hebat..mengalahkan wakil rakyat kita di dewan nu..tapi bila balik rumah rasanya satu pun tak melekat dalam otak ni..mengapa yek?

Tapi bila buka blog je, masa nak tulis di dada blog ni dah mula kering kontang idea, agaknya terbantut dek kerana memikirkan apa yang ditulis nanti betul ke nahunya, orang boleh terima ke?. Buntu ambo dibuatnya..al-maklumlah semenjak lepas alam persekolahan ini, hubungan akrab ambo dengan pena tu agak jauh jarak dan waktu dan memang renggang. Malah ambo selalu menunjukkan 'ego' dengan berkata : mata pen kecil le, besar le, tak sedap menulis le. kalau rajin pun menulis, banyak pulak conteng-conteng sebab ayat tak menyengat la.. tulisan buruk la, idea putus-putus la.. macam-macam!

Inilah hakikat sebenarnya, hari ini ada pelbagai media yang boleh dimanfaatkan oleh kita untuk sama-sama berkongsi pendapat. Ambo pun tahu, tak semua idea kita cakap atau tulis itu boleh diguna pakai, tapi tak semuanya tak boleh dipakai dan disisih begitu aje. Setiap orang ada citarasanya tersendiri dan kena hormatinya. orang kita ni, kalau bab cakap memang bagus. Tapi bab tulis menulis..berat sikit hehehe. Kita tengok la orang kita dari yang tak pernah belajar bahasa pun, oleh kerana dari kecik dah biasa cakap bahasa tu dia boleh jadi penutur yang baik.
 
Tiap kali ambo cakap, jarang orang boleh ingat begitu jugak sebaliknya bila orang cakap je ambo langsung tak ingat. Sebab apa? Mungkin magnet ingatan kita lemah agaknya atau bila kerap kali tersepak tunggul kayu tengah jalan atau ingatan kita tumpah bersama dengan latah dengan menyebut benda yang bukan-bukan tu!
Sesekali nak jugak menulis, kerana menulis ni sampai bila-bila orang boleh ingat, tak ingat boleh baca semula berulang kali, selagi apa yang ditulis tu tak hilang atau musnah. tetapi di mana? Pada apa? Kertas atau pada dinding atau batu-batu gua?

Tapi hari ini lain, dengan tekad dan nekad, dengan ini, melalui 26 aksara rumi ini, kalu boleh ambo nak cantum-cantumkan agar membentuk suku-kata yang elok-elok. Lepas tu ambo cantumkan lagi untuk jadikan ayat, ambo akan menulis apa sahaja yang mampu ditulis asalkan jangan melanggar batas-batas agama, dan tak lari dari peraturan bahasa (agaknya), ruang dah ada dengan tulisan secantik ini bolehlah agaknya ambo menulis semoga ia kekal untuk tatapan siapa saja yang ingin membaca, tidak lagi seperti di wakaf tepi jalan tu..insya-Allah.

Tambah kaps